Sunday, 22 September 2019

BBM3410Satu2019 : Etika Penulisan Blog. Tugas Individu

Assalamualaikum dan selamat tengah hari semua pembaca blog yang disayangi, hari ini kita akan bercerita mengenai cerita dalam blog. Sesebuah cerita perlu mematuhi etika penulisan blog, terdapat garis panduan dalam penulisan blog yang baik.

Menurut Normaliza Abd Rahim (2014) dalam Noraien Mansor dan Normaliza Abd Rahim (2019) terdapat 10 etika bagi sesuatu penulisan blog yang berkesan dan baik.

Pertama,tajuk yang menarik bagi menarik perhatian pembaca. Tajuk merupakan kepala bagi semua jenis penulisan (Kamus Pelajar Edisi Kedua,2019). Tajuk atau judul yang baik mestilah bersifat ringkas dan tidak berjela-jela. Tajuk juga melambangkan keseluruhan isi, sekiranya tajuk tidak begitu baik, pembaca mungkin akan kurang minat untuk membaca isi dalamannya. Cinta pandang pertama bagi pembaca ialah apabila membaca tajuk yang menarik perhatiannya.

Kedua, cerita yang menarik. Sesebuah cerita yang menarik perlu mengikut proses yang betul. Pertautan antara pengenalan, isi paling penting kepada isi kurang penting dan seterusnya penutup sangat memainkan peranan penting. Cerita jadi kurang menarik apaabila isinya tidak tersusun dan berterabur. Kajian juga perlulah dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan tiada fakta yang diselewengkan.

Ketiga, sedikit jenaka perlu diselitkan agar pembaca tidak tersekat dengan maklumat dan penulisan yang serius sepanjang membaca blog. Jenaka perlulah berkaitan dan tidak menyentuh isu sensitiviti mana-mana pihak. Jenaka boleh berbentuk gambar, ayat dan sebagainya supaya minat pembaca tidak teralih kepada benda yang lain. Penggunaan jenaka dan ayat yang humor boleh memberikan sedikit ketenangan lagi lagi jika penulisan blog itu bersifat serius.

Seterusnya, penyediaan hujah yang terbaik bagi menghuraikan penulisan. Setiap ayat dalam blog mestilah bertepatan dengan fakta semasa. Hujah perlulah selari dengan huraian kerana penceritaan akan menjadi lebih sempurna dan pembaca akan mudah tertarik sekiranya kebenaran dalam penulisan disajikan dengan sebaiknya.

Kelima, penulisan mestilah berkenaan isu semasa. Isu semasa ialah perkara yang sedang berlaku atau baru-baru berlaku. Pembaca lebih mudah tertarik dengan penulisan terhadap isu semasa. Pembaca juga boleh mendapat maklumat yang pelbagai. Selain itu, buah fikiran yang dilontarkan dalam penulisan blog akan membuatkan pembaca yakin dengan penulis.  Pembaca kurang menggemari isu yang lampau kerana, maklumat terhadap cerita berkenaan kurang atau susah untuk didapati.

Keenam, antara etika yang terpenting dalam penulisan blog ialah perkataan dan struktur ayat yang ringkas. Pemilihan perkatan yang sesuai mampu menarik minat pembaca. Pemilihan perkataan yang baik juga perlu mengikut sasaran khalayak, sekiranya untuk remaja, ayat perlulah bersifat terus terang supaya mereka dapat membahagikan baik dan buruk. Sekiranya untuk dewasa, ayat yang bersifat sinis dan kiasan digunakan kerana mampu menyentuh emosi mereka.

Ketujuh, blog perlulah dapat dibaca dan difahami. Pembaca telah membaca banyak blog dalam talian, jadi setiap blog mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri. Namun begitu, setiap blog perlulah mudah dibaca dan difahami oleh pembaca. Penulis perlu menyediakan wacana yang utuh dan benar dalam blog. Pemilihan font, warna dan gaya blog juga memain peranan dalam menarik minat pembaca.

Kelapan, penulisan mestilah dapat berinteraksi dengan pembaca. Ayat yang digunakan mestilah bersifat terbuka dan tidak berat ke mana-mana pihak, dengan cara ini pembaca dalam berfikir secara lebih terbuka. Bidang penulis juga memainkan peranan penting, sekiranya penulis mempunyai bidang sukan, maka keseluruhan penulisan mestilah berkaitan sukan. Pembaca lebih mudah tertarik terhadap bidang yang boleh difahami dan bukan bidang yang sukar untuk mereka fahami.

Seterusnya, moral dan nilai keindahan dalam penulisan. Penulisan mestilah bersifat perkongsian nilai-nilai murni, mendidik pembaca agar tidak jumud dan senang menerima pendapat. Penulis perlu menyentuh emosi pembaca dengan bijak agar penyampaian isi dalam penulisan blog lebih berkesan. Nilai murni perlulah ditunjukkan secara langsung atau tidak langsung, dari segi penulisan, penyediaan hujah dan sebagainya. 

Akhir sekali, ilmu. Setiap penulis mestilah berilmu terutamanya yang menyediakan penulisan berteraskan pendidikan. Penyampaian isi melambangkan idea dan pemikiran penulis secara tidak langsung. Jadi, ilmu perlu ada agar penulis dapat menyampaikan dengan betul, maklumat yang sahih, pandai mengambil minat pembaca. Penulis boleh menjadi inspirasi kepada pembaca kerana pembaca lebih gemar kepada penulisan yang penuh dengan ilmu yang bermanfaat.

Rujukan. Normaliza Abd Rahim dan Noraien Mansor (2019). BOOM! with Social Media. Kuala Nerus : Penerbit UMT.

No comments:

Post a Comment

BBM3410Satu2019: Ketika dan Kalimat

Assalamualaikum dan salam sejahtera, Harini kita akan berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam dan luar kelas BBM3410 Multimedia dalam...